sesi lawatan ke pusat data dayone
Satu sesi lawatan ke Pusat Data DayOne telah diadakan bersama pihak ADTEC Batu Pahat sebagai langkah pemantauan terhadap kerjasama strategik yang sedang dijalankan, pada 9 April lepas.
Unit Strategik Modal Insan (SMI) Negeri Johor mewakili Johor Talent Development Council (JTDC) dalam usaha memastikan setiap peluang yang diwujudkan memberi manfaat maksimum kepada anak-anak muda Johor.
Ketika ini, Memorandum Persefahaman (MoU) antara ADTEC Batu Pahat dan DayOne sedang diperhalusi. MoU ini bakal membuka ruang kepada pelajar lepasan ADTEC untuk menjalani program perantis secara langsung di DayOne sekali gus memperkukuh hubungan antara dunia pendidikan teknikal dan industri digital sebenar.
Dijangka seramai 20 hingga 30 pelajar akan terlibat bagi setiap sesi, memberikan mereka pengalaman kerja sebenar dalam bidang teknologi data.
Inisiatif ini adalah selari dengan aspirasi JTDC untuk melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi serta membuka lebih banyak peluang pekerjaan dengan gaji premium kepada anak-anak Bangsa Johor.