Pemerkasaan Bakat Tempatan Melalui Inisiatif PRO-MAHIR dan Zon Ekonomi Khas Johor

Menjawab Soalan Ahli Dewan Negeri Benut, Senggarang dan Pulai Sebatang mengenai usaha mempersiapkan dan memperkasakan bakat tempatan untuk peluang pekerjaan yang dicipta melalui Zon Ekonomi Khas:

Kerajaan Negeri Johor melalui Unit Strategik Modal Insan Johor telah melaksanakan Program Latihan Kemahiran Johor (PRO-MAHIR) sejak tahun 2018 sehingga kini. Program ini merupakan salah satu inisiatif strategik untuk meningkatkan tahap kemahiran tenaga kerja tempatan melalui pendekatan Train and Place. Pendekatan ini bertujuan memastikan peserta bukan sahaja dilatih dengan kemahiran teknikal dan profesional yang relevan dengan kehendak industri tetapi juga ditempatkan bekerja sebaik sahaja menamatkan latihan. Fokus utama program ini adalah untuk melahirkan tenaga kerja tempatan yang berdaya saing, mahir, dan dapat memenuhi keperluan sektor-sektor utama di negeri Johor.

Sejak diperkenalkan, Program PRO-MAHIR telah berjaya melatih seramai 3,500 peserta dengan jumlah peruntukan sebanyak RM17 juta. Program ini telah memberi manfaat kepada rakyat Johor khususnya dari pelbagai latar belakang, termasuk mereka yang baru memasuki pasaran kerja dan yang ingin beralih bidang kerjaya, serta golongan yang memerlukan peningkatan kemahiran untuk kekal relevan dalam industri masing-masing. Selain menyediakan latihan teknikal, Program PRO-MAHIR juga menekankan pembangunan kemahiran insaniah, seperti komunikasi, kepimpinan, dan penyelesaian masalah, bagi memastikan para peserta menjadi pekerja yang serba boleh.

Melihat kepada kejayaan ini, Kerajaan Negeri Johor telah memeperuntukkan RM 3 juta dalam Belanjawan 2025 untuk meneruskan program PRO-MAHIR dan bercadang untuk memperluaskan lagi pelaksanaan inisiatif ini pada tahun hadapan melalui Majlis Pembangunan Bakat Johor atau Johor Talent Development Council (JTDC) yang baru dilancarkan. JTDC akan menjadi platform utama dalam melaksanakan pelbagai program pembangunan modal insan di Johor, termasuk melalui Program PRO-MAHIR, dengan fokus yang lebih tersasar bagi menjayakan inisiatif Zon Ekonomi Khas Johor Singapura (JS-SEZ).

Bagi menyokong pelaksanaan inisiatif ini, sebanyak RM20 juta telah diluluskan oleh YAB Timbalan Perdana Menteri 1 semasa majlis pelancaran JTDC yang diadakan pada 3 November 2024 di PERSADA Johor. Dana ini akan disalurkan melalui HRD Corp, sebuah entiti yang bertanggungjawab dalam pengurusan pembangunan tenaga kerja, untuk memastikan pelaksanaan program latihan dan peningkatan kemahiran dapat dijalankan secara holistik dan efektif.

JTDC akan menjalankan kajian dan analisis terhadap keperluan industri di JS-SEZ untuk memastikan program latihan yang ditawarkan selaras dengan permintaan pasaran. Agenda utama di bawah JTDC adalah untuk memastikan bahawa peluang pekerjaan yang ditawarkan oleh pemain industri di Johor adalah bukan sahaja mencukupi, tetapi juga berkualiti tinggi dengan pakej gaji yang kompetitif dan manfaat yang menyeluruh. Ini bertujuan untuk menarik dan mengekalkan bakat-bakat terbaik, serta memastikan tenaga kerja di Johor memenuhi standard global.

Dana yang disebutkan akan digunakan untuk menawarkan pelbagai kursus latihan yang disesuaikan dengan keperluan industri di JS-SEZ. Inisiatif ini diharapkan dapat memberi kesan besar kepada pembangunan ekonomi negeri Johor dengan memastikan rakyat tempatan mendapat manfaat langsung daripada pembangunan pesat di JS-SEZ. Pada masa yang sama, ia juga berperanan dalam mengurangkan kadar pengangguran, meningkatkan pendapatan isi rumah, dan memperkukuh daya saing Johor sebagai hab ekonomi yang maju di peringkat nasional dan antarabangsa.

Seterusnya, sebagai langkah pertama untuk mencapai matlamat penubuhan JTDC, Inisiatif Gaji Premium Johor telah diperkenalkan. JTDC akan bertindak sebagai perunding yang menghubungkan bakat terbaik, termasuk graduan cemerlang daripada institusi pengajian tinggi (IPT), dengan peluang kerjaya yang menawarkan gaji minimum antara RM4,000 hingga RM5,000 sebulan. Langkah ini bukan sahaja memberi peluang pekerjaan yang bernilai tinggi, tetapi juga membantu meningkatkan daya saing tenaga kerja tempatan dalam menghadapi cabaran global.

Melalui inisiatif-inisiatif ini, Kerajaan Negeri Johor yakin dapat mempersiapkan dan memperkasakan bakat tempatan untuk memanfaatkan peluang pekerjaan yang dicipta melalui JS-SEZ, khususnya dalam bidang teknologi dan inovasi, sekali gus memperkukuh daya saing Johor sebagai hab ekonomi yang maju di peringkat nasional dan antarabangsa.
Sekian, terima kasih.