Johor Bakal Mewujudkan Hub Pendidikan Berkemahiran Tinggi
Alhamdulillah, hari ini saya bersama YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor mengadakan Lawatan Kerja ke Skills Johor Hub, pusat latihan TVET berkeluasan lebih 30 ekar milik penuh Kerajaan Negeri Johor yang kini telah siap 98.5%. Projek ini dijangka siap sepenuhnya Julai ini, yang akan menjadi mercu tanda baharu dalam pembangunan pendidikan kemahiran tinggi bagi anak muda Johor.
Skills Johor Hub di bawah seliaan Johor Talent Development Council (JTDC) bukan sekadar fasiliti biasa malah ia merupakan pusat pembangunan tenaga mahir masa depan negeri, menepati aspirasi Johor ke arah negeri maju menjelang 2030. Komitmen ini jelas mencerminkan kesungguhan kerajaan negeri dalam menyediakan peluang latihan yang berkualiti tinggi dan berimpak besar.
Usai lawatan tersebut, kami turut hadir ke Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran Kumpulan Yayasan Pelajaran Johor terdiri daripada YPJ, YPJH dan KPYPJ di Dewan Besar Kolej Yayasan Pelajaran Johor (KYPJ). Majlis penuh kemeriahan ini menjadi ruang mempererat ukhuwah bersama warga pendidikan Johor.
Kami juga mengambil kesempatan melawat Sekolah Hospitaliti KYPJ, di mana fasiliti seperti bilik pembelajaran dan dapur latihan sedang dinaik taraf menjadi lebih moden dan eksklusif. Projek ini dijangka siap sepenuhnya hujung tahun ini, seiring dengan keperluan industri hospitaliti yang semakin berkembang.
Kerajaan Negeri Johor terus komited memperkukuh pendidikan dan latihan kemahiran yang menyeluruh serta inklusif. Inisiatif sebegini bukan sahaja meningkatkan daya saing anak-anak Johor, malah membina masa depan yang lebih cerah buat seluruh Bangsa Johor.
Turut sama, YB Tuan Haji Mohd Fared Haji Mohd Khalid, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor merangkap Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Pelajaran Johor (YPJ).