400 Peluang Pekerjaan Berkemahiran Tinggi Untuk Anak Johor

Pelaburan berskala besar oleh Haitian Group dari China bakal membuka 400 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi di Johor! Ini satu berita gembira buat anak-anak tempatan yang mencari kerjaya dalam industri teknologi tinggi dan pembuatan moden.

Alhamdulillah saya berkesempatan menghadiri pertemuan strategik bersama pihak pengurusan tertinggi Haitian Group dan EcoWorld Malaysia, yang dipengerusikan oleh YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor. Sesi ini mengukuhkan lagi komitmen semua pihak untuk menjayakan pelaburan bernilai RM3 Billion di Eco Business Park II.

Haitian, sebagai peneraju global dalam pengeluaran mesin acuan suntikan plastik, telah memilih Johor sebagai pusat pengembangan operasi global mereka menjadikan satu pengiktirafan besar terhadap potensi negeri ini.

Lebih membanggakan, syarikat ini juga akan menubuhkan Pusat Penyelidikan & Pembangunan (R&D) serta pusat latihan kemahiran tinggi di Johor, yang pasti akan memberi limpahan manfaat jangka panjang kepada tenaga kerja tempatan.

Komitmen Kerajaan Negeri Johor, melalui Johor Talent Development Council (JTDC) adalah untuk memastikan bakat-bakat anak tempatan dilengkapkan dengan kemahiran yang diperlukan industri sejajar dengan visi menjadikan Johor sebagai hab pelaburan dan teknologi utama di rantau ini.