JTDC & Republic Polytechnic, Lembaran Baharu Kerjasama Agenda TVET Johor

Hari ini selesai Sesi Lawatan Kerja Delegasi Sekretariat Johor Talent Development Council (JTDC) ke Republic Polytechnic (RP), Singapura.

Lawatan ini menjadi platform penting untuk meninjau amalan terbaik (best practices) dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal & Vokasional (TVET) selain membincangkan potensi kerjasama strategik dengan RP dalam memperkukuh agenda pembangunan bakat Johor.

Antara fokus utama perbincangan termasuklah kemudahan fasiliti institusi, penyelarasan kurikulum mengikut kehendak industri semasa, peluang pertukaran teknologi, penyelidikan dan inovasi, serta program mobiliti pelajar bagi memperluas pengalaman pembelajaran rentas sempadan. Inisiatif ini diyakini mampu memberikan nilai tambah kepada sistem TVET Johor agar lebih kompetitif dan relevan dengan perubahan global.

Kerjasama antara Republic Polytechnic dan JTDC akan memberi manfaat besar kepada pembangunan modal insan negeri, khususnya dalam sektor berimpak tinggi seperti ekonomi digital, pembuatan termaju, penjagaan kesihatan, serta teknologi hijau. Usaha ini seiring dengan aspirasi Johor-Singapore Special Economic Zone (JS-SEZ) yang membuka lebih banyak peluang kerjaya dan pelaburan untuk anak muda Johor.

In Shaa Allah, saya yakin lawatan kerja ini menjadi penanda aras kepada permulaan kerjasama bermakna antara Republic Polytechnic dan JTDC, demi memperkasakan anak muda Johor, memperkukuh komuniti kita, serta membentuk masa depan yang lebih mampan, progresif dan inklusif.