Pembangunan 600 Bakat Perakaunan Bumiputera Bagi Menyokong JS-SEZ

Majlis Pembangunan Bakat Johor (JTDC) telah mengumumkan kerjasama strategik bersama Yayasan Peneraju, sebuah agensi di bawah Kementerian Ekonomi, bagi membangunkan 600 bakat Bumiputera Johor dalam bidang perakaunan.

Inisiatif ini merupakan langkah signifikan oleh Kerajaan Negeri dalam usaha membina tenaga kerja berkemahiran tinggi untuk memenuhi permintaan industri yang semakin meningkat, khususnya dalam Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

Melalui platform Peneraju.org, Yayasan Peneraju menawarkan 600 penempatan tajaan penuh untuk pendidikan dan latihan dalam bidang perakaunan, yang menyasarkan:

• 200 lepasan SPM
• 200 graduan
• 200 profesional yang sedang bekerja

Program ini memberi keutamaan kepada pensijilan profesional bertaraf antarabangsa seperti Association of Chartered Certified Accountants (ACCA) dan The Institute of Chartered Accountants in England and Wales (ICAEW).

Semua latihan akan disampaikan melalui rangkaian Institusi Pembelajaran & Latihan yang Diluluskan (ALTI) oleh Yayasan Peneraju.

Encik Najmie Noordin, Ketua Pegawai Bakat Johor Corporation (JCorp) merangkap Ahli Lembaga Pengurusan JTDC, menekankan keperluan untuk menangani ketidaksepadanan antara permintaan industri dan bekalan semasa profesionaldalam bidang perakaunan.

Beliau menyatakan kesediaan JTDC untuk mengadakan perbincangan lanjut bersama Malaysian Institute of Accountants (MIA) dan institusi pengajian tinggibagi memperkukuh saluran bakat, khususnya dalam memenuhikeperluan pelabur dalam JS-SEZ yang dijangka meningkat.

Inisiatif ini menunjukkan komitmen teguh dalam melahirkanmodal insan masa hadapan yang memiliki kelayakan profesional bertaraf global bagi menyokong keperluan pelabur dalam fungsi kewangan dan pengurusan akaun yang penting bagi pembangunan JS-SEZ.

Pengumuman ini dibuat semasa forum JS-SEZ “Supporting Economic Growth in JS-SEZ: Accountants as Business Enablers” yang berlangsung pada 4 Jun 2024 di CEREBRUM, KOMTAR JBCC. Forum tersebut dianjurkan oleh MIA Cawangan Johor dan disokong oleh CEREBRUM by JCorp. Majlis simbolik jalinan kerjasama ini telah dimeterai oleh Encik Najmie Noordin dan Encik Ibrahim Sani, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Peneraju.

Turut mewakili Lembaga Pengurusan JTDC dalam forum tersebut ialah Encik Natazha Hariss, Ketua Pegawai Eksekutif Invest Johor, yang turut menzahirkan komitmen Invest Johor untuk bekerjasama rapat dengan JTDC bagi memastikan penjajaran kukuh antara strategi ekonomi dan keupayaan tenaga kerja.