Membangunkan Bakat Masa Depan Melalui Kolaborasi Industri-Akademia

Sebagai sebahagian daripada komitmen Johor Talent Development Council – JTDC dalam membangunkan bakat di Johor, JTDC sangat berbangga dalam menyokong MyMAHIR: Academia Future Lab – Zon Selatan, yang telah dianjurkan oleh TalentCorp Malaysia pada 6 Mei 2025.

Bengkel ini diselaraskan dengan cadangan inisiatif Industry-Academia Exchange (IAX) di bawah JTDC, sebagai m langkah strategik ke arah memperkukuh hubungan antara dunia pendidikan dan industri.

Dengan tema “Future-Ready Talent: Aligning Education with AI and Green Economy Demand”, sesi ini berlangsung di Thistle Hotel, Johor Bahru dan menghimpunkan wakil institusi akademik dari Johor, Melaka dan Negeri Sembilan.

Fokus utama bengkel ini adalah untuk memperjelaskan dapatan penting yang diketengahkan dalam Impact Study of A.I., Digital & Green Economy of the Malaysian Workforce, yang diterbitkan hujung tahun lalu, serta mengukur tahap kesiapsiagaan institusi akademik dalam menyelaraskan kurikulum dan pendekatan latihan sejajar dengan perkembangan pesat industri.

Selain itu, sesi ini juga memberi ruang untuk meningkatkan kesedaran tentang kemahiran yang diperlukan dalam pasaran kerja masa hadapan, sambil mendapatkan maklum balas terus daripada para pemegang taruh untuk merangka penyelesaian strategik pembangunan bakat.

Sesi panel bersama wakil Imagine AI dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) turut mencetuskan perbincangan bernas tentang bagaimana institusi pengajian tinggi boleh bergerak seiring dengan industri dan menghasilkan graduan yang bukan sahaja kompeten, tetapi benar-benar bersedia untuk cabaran masa depan.

Komitmen JTDC bukan hanya tertumpu kepada pendidikan, matlamat kami adalah untuk memastikan setiap bakat yang dibangunkan di Johor mendapat akses kepada pekerjaan yang berkualiti dan berpendapatan tinggi, selari dengan pertumbuhan pesat Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

Kami amat menghargai peranan TalentCorp, yang juga merupakan ahli Lembaga Pengarah JTDC dalam menerajui inisiatif penting ini. Semoga kerjasama ini terus memacu Johor sebagai hab bakat terkemuka di rantau ini.